Penambahan usia negara kita ini seharusnya tidak melupakan kita kepada jasa dan pengorbanan mereka yang terdahulu yang telah bertungkus-lumus berkorban dan berjuang bagi memerdekakan tanah air yang tercinta ini dari belenggu penjajah.
Menurut lipatan sejarah PAS sendiri telah terlibat dalam menyumbang terhadap kemerdekaan negara kita sejak dari tarikh keramat penubuhannya pada tahun 1951, iaitu warisan dari perjuangan Hizbul Muslimin yang diharamkan British pada tahun 1948.
Malah tujuan penubuhan PAS itu sendiri adalah bagi memenuhi tuntutan melepaskan negara ini dari sebarang rupa dan bentuk penjajahan oleh kuasa bukan Islam sama ada dalam bentuk politik, ekonomi, sosial atau kebudayaan.
Kerana itu PAS telah terlibat secara aktif bersama parti-parti lain ketika itu bagi menuntut penjajah British untuk mengadakan pilihan raya umum sehingga terzahirnya pilihan raya umum persekutuan pada tahun 1955 dimana PAS telah mengambil bahagian dan memenangi satu kerusi.
Di ambang kemerdekaan ketika itu PAS juga turut mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Reid bagi menggubal perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.
Kerana itu PAS turut berbangga merayakan ulangtahun kemerdekaan ini sehinggakan perlembagaan PAS fasal 5(2) menyebut bahawa tujuan perjuangan PAS termasuklah mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.
Sepanjang 51 tahun usia kemerdekaan negara ini PAS telah terus gigih berjuang jatuh dan bangun mengisi kemerdekaan ini dengan Islam yang merupakan prinsip dan dasar perjuangannya.
PAS telah menyumbang dalam pembangunan negara melalui wakil-wakil rakyatnya serta kerajaan-kerajaan negeri yang dipimpinnya disamping yang ia turut serta terlibat di dalamnya.
Saya yakin dan percaya berteraskan dasar perjuangannya itu PAS akan terus berperanan di dalam negara Malaysia yang Merdeka dan berbilang kaum ini sehingga lahir di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang adil dan saksama yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dengan peraturan dan hukum yang diredhai Allah SWT.
Politik Islam yang luhur yang dibawa oleh PAS akan terus relevan kerana ianya keperluan manusia secara fitrah dan menepati obejektif peranan manusia yang dijadikan oleh Tuhan pencipta alam ini. Allah swt telah menetapkan beberapa prinsip yang menjadi landasan yang wajib ditaati oleh hamba ciptaanNya secara menyeluruh. Prinsip ini terkandung dalam surah an Nisa ayat ke 58-59:
"Sesungguhnya Allah memerintah supaya kamu menunaikan amanah kepada ahlinya dan apabila kamu menjalankan hukum di kalangan manusia hendaklah melaksanakan hukum itu dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat . Wahai orang-orang yamng beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan ulil amri (orang-orang yang mengendalikan urusan yang terdiri daripada pemimpin dan ulamak). maka jika sekiranya kamu bertelingkah dalam apa-apa perkara, hendaklah kamu kembalikan penyelesaiannya kepada Allah (al Quran) dan Rasul (as Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Itulah sebaik-baik dan lebih elok penyelesaiannya."
Selamat menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51, "Perpaduan teras kejayaan" dengan izin Allah SWT.